Team Gerak Sahur Kampung Tambey hidupkan kembali tradisi orang lama ketika Ramadan

 


KUCHING— Demi menghidupkan kembali tradisi ketika Ramadan yang diamalkan generasi terdahulu, sekumpulan anak muda Kampung Tambey, Kota Samarahan menubuhkan Team Gerak Sahur Kampung Tambey.

Kumpulan itu diketuai Busmani Drahman atau lebih dikenali dengan panggilan Musz, ditubuhkan pada 2023, bagi memudahkan penduduk Kampung Tambey bangun ketika sahur sepanjang Ramadan.


“Ketuk-ketuk Ramadan ini merupakan tradisi peninggalan orang tua dahulu. Namun ketika itu mereka menggunakan alat muzik tradisional kompang.

“Tradisi ini sudah lama tidak dilakukan di kampung ini tetapi hasil galakan dan sokongan penduduk kampung kami hidupkan kembali tradisi ini pada 2023,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Lebih menarik, kumpulan anak muda itu menggunakan peralatan terpakai seperti baldi, periuk dan kuali sebagai alat muzik untuk dijadikan ‘penggera bergerak’ bagi membangunkan penduduk kampung ketika waktu sahur.

“Kami melakukan ini untuk mengangkat semula tradisi lama ini selain memeriahkan suasana sambutan Ramadan,” katanya.


Tambahnya lagi, pada hari biasa kumpulan itu disertai kira-kira 20 anak kampung yang secara konsisten bertugas membangunkan penduduk kampung untuk bersahur.

“Hari biasa ada 20 orang yang ikut serta tetapi pada hujung minggu lebih ramai sehingga 40 orang.


“Kami bergerak setiap hari dari jam 4 pagi hingga 4.30 pagi mengelilingi kampung dengan mengetuk alat yang dibawa untuk membangunkan penduduk kampung.

“Pernah kami tidak melakukan tradisi ini kerana disebabkan hujan lebat, pasti ada penduduk kampung yang mencari bertanyakan khabar kumpulan kami,” tambahnya.


Sehubungan itu, Musz berharap ada pihak yang sudi mendermakan alat muzik seperti kompang atau hadrah untuk digunakan kumpulan itu pada masa akan datang.

“Ketika ini kami guna barang terpakai seperti baldi dan kuali. Jadi kalua ada yang sudi menderma peralatan seperti kompang kami amat galakkan,” ujarnya.


Ditanya sama ada aktiviti itu menganggu penduduk di kampung tersebut atau tidak, Musz menjelaskan tradisi itu dibuat atas permintaan penduduk kampung sendiri.

“Setakat ini penerimaan orang kampung amat baik, malah mereka beri dorongan untuk terus kekalkan tradisi ini,” katanya lagi sambil menambah kumpulan itu akan berkumpul untuk bersahur bersama setiap hujung minggu.



Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama