Pelajar, guru Sekolah Rendah Long Luteng bergelap, bekalan makanan rosak akibat ketiadaan bekalan elektrik

 


KUCHING— Warga Sekolah Rendah Long Luteng, Baram terpaksa bergelap berikutan terputus bekalan elektrik.

Keadaan itu menyulitkan warga pendidik dan para pelajar di sekolah berkenaan selain menyebabkan kerosakan bekalan makanan basah.


Berkongsi kisah perit itu, Yang Ko berkata, sebulan sebelum cuti panjang yang lepas warga sekolah sudah merasa bergelap, kepanasan dan semua barang dalam peti sejuk rosak akibat genset yang membekalkan elektrik ke situ tidak berfungsi.

“Dengan harapan pihak yang bertanggungjawab datang ke sekolah ini untuk menyelesaikan masalah elektrik yang mereka hadapi sekarang dengan secepat yang mungkin.


“Apabila pihak sekolah mengadu kepada pihak yang bertanggungjawab, pihak sekolah hanya mendengar dan selalu diberi harapan-harapan palsu, mereka selalu cakap, esok, esok, esok, esok sampailah sebulan lebih kami bergelap di sekolah.

“Dengan jumlah murid asrama yang ramai pihak sekolah sangat bimbang dengan keselamatan mereka setiap malam,” katanya menerusi Facebooknya.


Namun, katanya, keadaan itu kembali ‘pulih’ apabila pihak sekolah menerima sebuah genset “baru”.

Jelasnya, genset ‘baru’ itu hanya mampu menampung sesetengah blok kelas dan beberapa kuarters guru manakala staf sekolah tiada sambungan elektrik dan perlu bercatu untuk memastikan kawasan sekolah yang tertentu tidak terputus bekalan elektrik.


“Tetapi malangnya pada malam 6 Mac 2025 genset ‘baru’ itu tiba-tiba padam pada sebelah petang. Pihak bertanggungjawab berkata akan datang pada hari ini, tetapi perkataan esok masih berulang. 

“Entah sampai bila pihak berwajib mengetepikan masalah yang dialami Sekolah Rendah Long Luteng ini. 

“Saya rasa bukan sekolah ini saja, banyak lagi sekolah-sekolah yang lain menghadapi masalah yang sama,” tambahnya.

Justeru, katanya, pihak sekolah berharap masalah elektrik ini dapat segera diselesaikan agar semua warga sekolah selesa dalam menjalankan tugas masing-masing. 

“Kesian cikgu-cikgu muslim yang berpuasa, kalau stok makanan rosak macam mana mereka nak berbuka?

“Berharap ada tindakan yang sewajarnya daripada pihak atasan agar masalah ini cepat diselesaikan.

“Makanan mereka memang tidak dapat diselamatkan sekiranya perkara ini sudah berlanjutan dalam tempoh 3 hari,” ujarnya.



tamat

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama