KUCHING— Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyumbangkan RM10,000 bagi setiap rumah untuk kegunaan permulaan nelayan yang berpindah masuk.
Berita gembira itu diumumkan kepada 58 nelayan yang bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri di rumah baharu mereka setelah menerima kunci kediaman baharu itu yang telah siap sepenuhnya menerusi projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin.
Majlis penyerahan kunci rumah projek PSN Beladin itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor di PSN Beladin, Pusa semalam.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Hamdan Mamat.
Razaili dalam ucapan ringkasnya berkata, sumbangan itu bukti Abang Jo prihatin terhadap kebajikan rakyat serta berharap melalui PSN, ia dapat menyediakan kehidupan yang lebih selesa kepada para nelayan terutamanya di Beladin.
Projek itu juga diharapkan dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi bagi membantu nelayan mendapatkan kehidupan lebih stabil dan berkualiti.
Pada masa sama beliau berharap agar kompleks pendaratan ikan yang telah siap di kawasan itu dapat segera beroperasi untuk memacu industri perikanan tempatan.
Dengan kemudahan infrastruktur yang semakin berkembang serta potensi besar industri perikanan di Beladin, diharapkan program seperti ini akan terus diperluas demi kesejahteraan nelayan dan pembangunan ekonomi setempat.
Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan RM21.25 juta bagi projek ini sejak 2016, dengan fasa pertama menyaksikan pembinaan 68 unit rumah bernilai RM6.8 juta.
Selain itu, Razaili pada majlis itu turut mengagihkan bubur lambuk kepada komuniti setempat, melambangkan semangat perpaduan dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
tamat
Catat Ulasan