Isu lebih 800 anak Sarawak bertugas di sektor kesihatan akan dibincang dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 bulan ini - Fadillah

 


KUCHING— Isu berkaitan lebih 800 anak Sarawak yang berkhidmat sebagai pegawai dan kakitangan kesihatan di luar negeri berhasrat untuk pulang menabur bakti di negeri ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, isu itu boleh dibawa dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dan bukan satu masalah yang berat.

“Kita akan bawa bincang dalam Jawatankuasa Teknikal MA63, insya-Allah diadakan dalam bulan ini, di situlah kita akan berbincang, kita dengar pembentangan daripada pihak Sarawak dan juga dari perspektif persekutuan 

“Kalau semua orang nak balik tak juga bagus, sebab kadang-kala kita perlu semua negeri ada, baru semangat Malaysia itu ada… Kalau semua orang nak balik Sarawak maka tiada lagi orang Sarawak di Semenanjung.

“Jadi kita perlu juga melihat keadaan itu, tetapi yang penting adalah melihat dari segi perspektif pentadbiran sama ada boleh dan ada tidak jawatan di sini,” katanya ketika mengulas isu tersebut.

Fadillah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra DBKU di Padang SLPAS / Kompleks Sukan Satok di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, perkara tersebut perlu dilihat secara keseluruhan dan keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau semua nak bertugas di Sarawak mungkin jawatan itu tidak mencukupi, jadi kita kena lihat secara praktikal,” ujarnya.

Semalam Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian mendedahkan lebih 800 anak Sarawak yang berkhidmat sebagai pegawai dan kakitangan kesihatan di luar negeri berhasrat untuk pulang menabur bakti di negeri ini.

Beliau memberitahu, terdapat kekosongan jawatan di Sarawak pada masa ini yang dapat memenuhi permintaan mereka.

Tambahnya, perkara itu akan dibincangkan terutamanya dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 di bawah autonomi kesihatan untuk membawa balik kakitangan tersebut.

“Jumlahnya lebih daripada 800 orang dan kita ada jawatan di Sarawak maka inilah antara perkara yang ingin kami bincangkan. 

“Sebab itu kami mahukan autonomi di mana kita boleh menentukan sendiri, bukannya menunggu Kuala Lumpur yang menentukan dan menghantar ikut kehendak mereka.

“Kebanyakan orang mahu berada dekat dengan tanah kelahiran mereka terlebih dahulu kerana sekurang-kurangnya mereka mahu pulang dengan mudah terutama dengan harga tiket penerbangan yang mahal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Imunisasi Influenza Kebangsaan Kepada Warga Emas Peringkat Sarawak 2025 di Klinik Kesihatan Batu Kawa semalam.

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama