KUCHING— Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof mendedahkan bahawa Petroleum Sarawak Bhd (Petros) telah mengemukakan surat cadangan kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengenai potensi kerjasama yang boleh diterokai membabitkan kedua-dua syarikat berkenaan.
Beliau menjelaskan surat itu bagi bagi membincangkan susunan komersial, undang-undang kerjasama, pentadbiran dan perincian kerjasama ini.
“Perinciannya belum lagi tetapi Petros telah menulis surat kepada Petronas untuk menyelesaikan perinciannya dan diharapkan mereka boleh mencapai persetujuan, bahagian perinciannya.
“Selepas itu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) akan melihat semua perinciannya, tetapi buat masa ini, biar Petros dan Petronas menyelesaikan semua perincian tersebut, termasuk pengaturan komersial, bagaimana menterjemahkan undang-undang yang boleh mewujudkan kerjasama dalam pentadbiran dan juga bahagian perinciannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Pengagihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Kompleks Sukan Satok Jepang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman serta tetamu kehormat lain.
Tambah Fadillah, setelah mendapat kesepakatan dalam rundingan berkenaan, Perdana Menteri dan Premier Sarawak akan menilai semula hasil rundingan sebelum dimuktamadkan sepenuhnya.
“Ia perlu diselesaikan oleh kedua-dua pihak, jadi saya percaya Petros telah menulis surat dalam minggu ini untuk menawarkan jalan penyelesaian kepada Petronas, dan kami masih menunggu respons daripada mereka,” tegasnya.
Menurutnya lagi, rundingan itu termasuk langkah bagi kedua-dua syarikat minyak berkenaan menterjemah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
Sebelum ini, Perdana Menteri pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkata kerajaan persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri itu.
Anwar berkata kerajaan persekutuan akan berbincang dengan Kerajaan Sarawak yang menyentuh aspek kerjasama terutamanya melibatkan projek baharu yang bakal diterokai kedua-dua syarikat terbabit dalam apa jua bidang.
Terdahulu, Fadillah pada majlis itu mengagihkan sebanyak 500 pek bubur pedas kepada orang awam manakala Sumbangan Khas Ramadan kepada 75 asnaf kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, anjuran Kompleks Sukan Satok dan Bank Muamalat turut diadakan.
tamat
Catat Ulasan