KUCHING-- Polis kini giat memburu suspek sindiket penipuan menggunakan kod QR yang dilaporkan berlaku di daerah Padawan.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, sekitar jam 4.30 petang Isnin, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan telah menerima lima kes penipuan Kod QR.
"Kes ini berlaku pada 21 Februari 2025 sehingga 1 Mac 2025 bertempat di dua buah pasar raya yang berbeza melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM4904.99.
"Modus operandi yang dilakukan oleh sindiket penipuan menggunakan
pembayaran melalui Kod QR dengan penglibatan lebih kurang tiga ke empat orang suspek yang masuk ke premis yang disasarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Padawan mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek kes penipuan Kod QR boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Magenderan Muniandy di talian 017-3356810 atau Inspektor Risikan Operasi BSJKD Padawan, Inspektor Mohd Hisyam Mohd Shah di talian 014-6662855.
Catat Ulasan