Dua projek libatkan kos RM51.5 juta disenarai dalam RP1 RMKe-13, atasi banjir di Bintulu, Limbang- Fadillah

 

Fadillah Yusof

KUCHING-- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyenaraikan dua projek dengan kos sebanyak RM51.5 juta untuk pemuliharaan Muara Batang Kemena di Bahagian Bintulu dan Muara Sungai Trusan di Bahagian Limbang.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata dua projek itu disenaraikan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RP1 RMKe-13).

"Saya memberitahu Dewan Negara bahawa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui JPS telah menyenaraikan dua projek dengan kos sebanyak RM51.5 juta di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RP1 RMKe-13).

Fadillah Yusof

"Projek-projek berkenaan adalah pemuliharaan Muara Batang Kemena, Bahagian Bintulu dan pemuliharaan Muara Sungai Trusan, Bahagian Limbang. 

"Skop utama projek adalah mendalamkan sungai bagi meningkatkan kapasiti sungai untuk menampung aliran air yang tinggi terutamanya ketika musim hujan," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Senator Abun Sui Anyit yang bertanyakan langkah-langkah dan perancangan tebatan banjir untuk mengurangkan keadaan banjir buruk yang semakin menjadi-jadi dan teruk sehingga menenggelamkan banyak rumah seperti di Sungai Trusan, Sungai Kemena dan Sungai Miri di Sarawak yang muaranya semakin cetek.

Fadillah Yusof

Dalam pada itu, Fadillah berkata PETRA melalui JPS juga akan mengemukakan permohonan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Miri, Bahagian Miri bagi pelaksanaan kerja pengerukan muara sungai dengan anggaran kos RM16.6 juta di bawah RP2 RMKe-13.

Tambahnya lagi, PETRA melalui JPS sedang melaksanakan projek RTB Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri dengan kos berjumlah RM31 juta. 

"Pelaksanaan projek ini melibatkan kawasan Lutong, Krokop dan Jalan Jee Foh. 

"Setelah siap kelak, projek ini dijangka akan memberikan perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk daripada risiko banjir dan mengurangkan keluasan banjir seluas 600 hektar," jelasnya.

Menurutnya lagi, kerja-kerja fizikal telah bermula pada Oktober 2023 dan kemajuan terkini di tapak adalah 28.16 peratus dengan projek dijangka siap pada Januari 2026.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, beliau menjelaskan JPS melaksanakan kerja-kerja kecil di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir. 

"Peruntukan RM37.8 juta telah disalurkan di Sarawak pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 360 sebutharga dengan skop utama seperti kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai. 

"Senarai projek pada tahun ini pula sedang dimuktamadkan dan jumlah peruntukan adalah sebanyak RM13.1 juta," ujarnya.

Bagi Parlimen Bintulu, Fadillah berkata, peruntukan berjumlah RM4.92 juta telah disalurkan pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 41 sebutharga dengan skop utama seperti kerja-kerja pengaluran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan bagi meningkatkan kualiti air sungai. 

"Pada tahun ini pula, sebanyak RM652,000 diperuntukkan untuk melaksanakan 3 sebutharga," jelasnya.

Menurutnya lagi, bagi Parlimen Miri, peruntukan berjumlah RM812,000 telah disalurkan pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 7 kerja sebutharga.

"Pada tahun ini pula, sebanyak RM900,000 diperuntukkan untuk melaksanakan 5 sebutharga. 

"Manakala, di Parlimen Limbang, peruntukan berjumlah RM1.7 juta telah disalurkan pada 2022 sehingga 2024 untuk melaksanakan 35 kerja sebutharga dan pada tahun ini pula, sebanyak RM330,000 diperuntukkan untuk melaksanakan 8 sebutharga," katanya.



Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama