Enam lelaki direman berhubung kes tembak mati

 






KUCHING- Enam lelaki direman berhubung kes tembak mati seorang lelaki yang sedang menaiki kereta di Jalan Stephen Yong di sini semalam.


Tiga suspek berusia 25 hingga 39 tahun yang merupakan suspek keempat hingga keenam, yang menaiki kereta bersama individu yang menembak mangsa, direman selama tujuh hari.


Manakala suspek pertama hingga ketiga berusia 29 hingga 45 tahun, yang menaiki kenderaan bersama mangsa, direman selama empat hari.


Permohonan reman itu diluluskan oleh Penolong Pendaftar Kanan Heng Yi Min mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan memerintahkan tempoh reman ke atas keenam-enam suspek itu berkuat kuasa esok.


Sebelum itu, Pegawai Penyiasat ASP Sylvarius Gopog membuat permohonan reman itu manakala kesemua suspek diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Russell Lim dan Zoe Chan.


Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Pada malam tadi, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam kenyataan memaklumkan suspek berusia antara 26 tahun hingga 45 tahun ditangkap di lokasi yang berbeza antara jam 4 hingga 5.30 petang semalam.


"Turut dirampas sebuah kereta dan sepucuk pistol berserta 10 butir peluru.


"Siasatan awal mendapati kumpulan ini terlibat dalam kejadian yang

berlaku dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.


Sebelum itu, Mohd Irwan berkata, seorang lelaki berusua 34 tahun maut dipercayai dipercayai terkena tembakan semasa menaiki kereta bersama rakannya di Jalan Stephen Yong di sini awal pagi semalam.


Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 5.30 pagi di mana dua lelaki telah datang ke Balai Polis Batu Kawa memaklumkan seorang rakan mereka telah terbaring di dalam kereta dipercayai terkena tembakan.


"Pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan serta pegawai

perubatan telah mengesahkan kematian mangsa," katanya.


Jelasnya terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa.


tamat

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama