Pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen babitkan Petronas, Sarawak antara perkara dibincang PM Anwar dan PM Jepun

 


KUCHING— Pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kerajaan Negeri Sarawak antara perkara yang dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba hari ini.


Perbincangan itu menerusi perbualan telefon petang tadi selepas Anwar usai Istiadat Sambutan Negara.




“Malaysia juga menyatakan penghargaan atas hasrat dan minat Jepun untuk bersama dalam membangunkan rangkaian ASEAN Power Grid.


“Ruangan sama turut kami sentuh mengenai perkembangan kerjasama dua hala Malaysia-Jepun antaranya mengenai pembangunan sektor tenaga baharu, hidrogen membabitkan Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.



Selain itu, Anwar memberitahu, beliau bersama bersama Perdana Menteri Jepun juga menyentuh beberapa perkara penting khususnya terkait tarif timbal balik Amerika Syarikat dan kesannya kepada ekonomi dunia.


“Saya tegaskan bahawa Malaysia telah mengadakan perbincangan bersama pimpinan negara ASEAN selain menyatakan kesepakatan dan kebersamaan untuk meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai perkara ini.



“Selain itu, kami juga membincangkan soal bencana gempa bumi di Myanmar yang mana Malaysia sampaikan ucapan takziah kepada PM Ishiba atas kehilangan nyawa rakyat Jepun dalam tragedi tempoh hari,” ujarnya.


Tambahnya, Malaysia menghargai usaha Jepun yang turut sama menyalurkan sumbangan bagi membantu pembangunan semula negara berkenaan.



Justeru, beliau berharap hubungan Malaysia-Jepun akan terus terjalin kukuh berteraskan hormat, kepercayaan serta komitmen jangka panjang kedua-dua negara dalam pelbagai bidang strategik. 


Pada awal tahun ini, Anwar menjelaskan Malaysia dan Jepun bakal memuktamadkan kerjasama bagi membangunkan sektor tenaga baharu, hidrogen menjelang Mei ini.



Menurutnya, inisiatif terbaharu itu membabitkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dengan kerjasama Petronas.


"Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg), yang turut hadir di sini, telah memberikan jaminan bahawa dengan sokongan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, kerjasama dalam teknologi baharu dan hidrogen ini akan menjadi satu kejayaan.



"Insya-Allah, kami berharap dapat mempercepatkan usaha ini secepat mungkin untuk memenuhi tarikh akhir, mungkin pada bulan Mei, apabila kita bertemu sama ada di Tokyo atau di Kuala Lumpur," katanya.


Dalam pada itu, negara menzahirkan penghargaan kepada Jepun atas kerjasama jangka panjang bersama Petronas Liquefied Natural Gas (LNG) dan kini meneruskan kerjasama dalam bidang Carbon Capture Utilization Storage (CCUS) melalui dasar tenaga bersih Petronas.


Anwar berkata, ini termasuk kolaborasi penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas.


"Saya turut menyebut tentang pembentukan grid tenaga ASEAN yang melibatkan Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura, serta inisiatif Sarawak untuk membangunkan kabel tenaga bawah laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan juga ke Singapura.


"Sudah tentu usaha ini akan memerlukan penyertaan daripada Jepun selain negara-negara yang terlibat," katanya.


Pada Disember tahun lepas, Premier Sarawak mengadakan lawatan kerja ke Jepun bagi menyaksikan kolaborasi antara Jepun dan Sarawak terus diperkukuhkan. 

Dalam lawatan itu, delegasi Abang Johari telah mengadakan lima mesyuarat dengan beberapa pihak untuk meningkatkan kerjasama ekonomi sekali gus merangsang pelaburan dalam sektor-sektor utama seperti industri minyak dan gas, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), mineral, pembiayaan projek, perindustrian dan yang berkaitan.


Malah, kejayaan Sarawak dalam menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dan mesra alam itu menarik ramai pelabur untuk datang ke negeri ini. 


Antara kejayaan itu, Premier Sarawak, pada Mei 2023 pernah menaiki pesawat yang dikuasakan bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan alga yang dihasilkan di Sarawak bagi menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).


Abang Johari berkata, usaha Sarawak mengeluarkan SAF bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan kebergantungan kepada bahan bakar fosil.


“Penghasilan SAF ini merupakan hasil kerjasama PETRONAS dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).


“Saya berpendapat Sarawak mempunyai masa depan yang sangat cerah untuk mengeluarkan SAF kerana kita mempunyai cuaca yang sesuai,” katanya.


Tambahnya, beberapa syarat perlu dipatuhi dalam pengeluaran minyak mikroalga.


“Kita memerlukan cahaya matahari yang mencukupi, karbon dioksida dan iklim yang bersesuaian.


“Sarawak amat bertuah kerana mempunyai garis pantai yang agak panjang.


“Teknologi ini menggunakan air laut, maknanya kita dapat mengeluarkan minyak mikroalga,” ujarnya.


Sehubungan itu, melalui inisiatif tersebut, Abang Johari berkata bahawa Sarawak bersedia untuk memanfaatkan potensi besar dalam sektor industri hijau dalam memacu ekonomi hijau yang selamat, bersih dan berpatutan.


Untuk rekod, Kemudahan Penangkapan Karbon Mikroalga Pertama Sarawak terletak di Loji Kuasa Sejingkat Sarawak Energy, Kuching di mana kerajaan Sarawak bekerjasama dengan rakan kongsi daripada Jepun dalam membangunkan teknologi baharu berkenaan yang turut disokong oleh Sarawak Energy dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).


“Kita telah melakukan percubaan dengan rakan kongsi daripada Jepun untuk menghasilkan SAF di mana biojisim ini juga boleh menghasilkan 192 tan protein 52 tan karbohidrat.


“Karbohidrat dan protein ini kita panggil sebagai sifat terapeutik alga yang boleh melawan bakteria dan juga kanser.


“Perkara ini perlu diterokai dan perkara itu saya serahkan kepada saintis tetapi satu perkara yang pasti, kami mempunyai bahan mentah, iklim yang sesuai dan kita mempunyai kepakaran dengan kerjasama dengan Jepun,” ujarnya.


tamat

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama