KUCHING— Enam kertas pembentangan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, enam kertas pembentangan dibentangkan oleh beberapa Kementerian dan Jabatan yang berkaitan.
“Enam kertas itu adalah Status Tindakan Bagi Perkara-Perkara Di Bawah Kementerian Kewangan; Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak; Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) Dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (PP) Kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan PP; Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan; Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah dan Sarawak; dan Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat JKTMTPM63 yang pertama untuk Tahun 2025 di Dewan Persidangan, ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, hari ini.
Fadillah menjelaskan mesyuarat itu amat penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status perkara/tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan.
Katanya, ia selaras dengan keputusan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 12 September 2024 yang lalu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, semua keputusan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63 pada hari ini akan dibawa ke Mesyuarat MTPAM63 yang akan datang untuk pertimbangan dan persetujuan.
Menurutnya lagi, perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63.
“Sehingga kini, Kerajaan MADANI telah berjaya menyelesaikan sembilan berkaitan MA63.
“Antaranya, Pengiktirafan Jabatan Kerja (JKR) Dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Sabah Dan Negeri Sarawak Sebagai Jabatan Teknik Di Bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 Bagi Melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas Di Negeri Sabah; Pentadbiran Badan Kehakiman Di Sabah Dan Sarawak dan Penyediaan Garis Panduan Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan Di Negeri Sabah Dan Negeri Sarawak.
“Selain itu, Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik Kepada Kerajaan Negeri Sabah; dan Cadangan Pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Kuasa Perundangan; Penukaran Status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan ke Pelabuhan Negeri; dan Tenaga buruh di Sabah dan Sarawak.
“Di samping itu, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak telah dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta secara interim bermula tahun ini,” ujarnya.
tamat
Catat Ulasan