MIRI: Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri berjaya menahan dua orang lelaki warganegara tempatan berusia 34 dan 41 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataannya hari ini, hasil maklumat serta risikan, BSJND IPD Miri telah melakukan pemeriksaan dan serbuan di kawasan Terminal Bas Miri Sentral Miri.
"Hasil pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan pasukan polis telah menahan dua orang suspek serta merampas sejumlah dadah jenis disyaki 35.88 gram Methamphetamine dan 1.64 gram Pil Erimin 5," ujarnya.
Jumlah rampasan katanya dianggarkan bernilai RM4, 010 yang mana kedua-dua ssspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) di bawah akta sama.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kedua-dua suspek berhadapan dengan hukuman penjara tidak kurang 5 tahun atau seumur hidup beserta sebatan tidak kurang daripada 10 kali.
Manakala itu jelas Alexson, bagi kesalahan di bawah Seksyen12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pihak polis dalam pada itu menasihatkan masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka bagi membolehkan tindakan segera diambil," tegasnya.
Catat Ulasan