![]() |
Gambar kredit UKAS |
KUCHING— Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa sehingga kini Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, sembilan tuntutan itu adalah Pengiktirafan Jabatan Kerja (JKR) Dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Sabah Dan Negeri Sarawak Sebagai Jabatan Teknik Di Bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 Bagi Melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas Di Negeri Sabah; Pentadbiran Badan Kehakiman Di Sabah Dan Sarawak dan Penyediaan Garis Panduan Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan Di Negeri Sabah Dan Negeri Sarawak.
“Selain itu, Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Cadangan Pindaan Perkara 95B Perlembagaan Persekutuan Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Kuasa Perundangan; Penukaran Status Pelabuhan Bintulu dari Pelabuhan Persekutuan ke Pelabuhan Negeri; dan Tenaga buruh di Sabah dan Sarawak.
“Di samping itu, kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak telah dinaikkan sekali ganda kepada RM600 juta secara interim bermula tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadillah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) yang pertama untuk Tahun 2025 di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada Khamis.
Mengenai mesyuarat itu, beliau menjelaskan ia amat penting bagi membolehkan Kerajaan merencana tindakan-tindakan susulan yang pragmatik berhubung status perkara atau tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan.
Tambahnya, ia selaras dengan keputusan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 September 2024 yang lalu.
Dalam mesyuarat itu juga, katanya turut membincangkan enam kertas pembentangan oleh beberapa Kementerian dan Jabatan yang berkaitan.
“Antaranya Status Tindakan Bagi Perkara-Perkara Di Bawah Kementerian Kewangan; Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak; Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) Dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (PP) Kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan PP; dan Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan;
“Selain itu, Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah dan Sarawak; dan Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, semua keputusan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63 pada hari ini akan dibawa ke Mesyuarat MTPAM63 yang akan datang untuk pertimbangan dan persetujuan.
“Perkara atau tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal Di Bawah MTPMA63,” ujarnya.
Catat Ulasan