KUCHING-- Penyandang jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek akan mempertahankan jawatan yang disandangnya itu pada pemilihan parti tersebut nanti.
Menteri Pendidikan dan juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menegaskan, ia demi kesinambungan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.
"Pertamanya ini perkara yang paling ingin didengari dari mulut ini, yang ditunggu-tunggu apakah pendirian saya kali ini.
"Saya fikir untuk kali ini saya tetap akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita (PKR) dan ini adalah untuk kesinambungan dan kestabilan.
"Kali ini keadaan kita jauh lebih baik kita dipimpin oleh seorang pemimpin yang telah berjaya mengangkat Malaysia ini dalam keadaan terbaik ketika ini.
"Jadi apa lagi yang kita mahukan selain memastikan kesinambungan dan kestabilan pasukan ini sehingga akhir penggal nanti," katanya ketika berucap pada majlis iftar di sini hari ini.
Pada masa sama Fadhlina memohon ahli-ahli PKR terus memberikan sokongan khususnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden dan beliau sebagai Ketua Wanita untuk meneruskan agenda-agenda memastikan negara terus diangkat.
"Saya juga mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan selamat berjaya kepada semua yang akan memulakan perjuangan yang akan bermula 12.01 tengah malam ini.
"Jangan gaduh-gaduh ini adalah perlawanan atau pemilihan dalam kalangan keluarga, dipesan banyak kali bahawa ini adalah pemilihan keluarga yang ingin kita tawarkan adalah khidmat dan bakti kita kepada parti.
"Lawan secara baik, jangan burukkan orang, jangan menabur fitnah, tumpukan tugas kita untuk menaikkan martabat dan memastikan PKR ini terus kukuh dalam masyarakat," tegasnya lagi.
Tambahnya PKR kini mempunyai masa terbaik yang harus dimanfaatkan untuk memastikan parti itu benar-benar dapat memimpin khususnya di Sarawak ini.
Mengenai pencabarnya, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang akan bertanding merebut jawatan Ketua Wanita itu, Fadhlina berkata, ia adalah pertandingan dalam keluarga.
"Setakat ini hanya seorang sahaja yang mengumumkan akan bertanding jawatan ini jadi saya menyambut dengan baik kerana kita bertanding sesama kita dalam keluarga," ujarnya.
Pemilihan pimpinan pusat PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April depan.
tamat
Catat Ulasan