KUCHING-- Australia menandatangani perjanjian kerjasama dengan Sarawak dalam sektor penyimpanan tenaga, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke.
Jelasnya, kerjasama strategik dalam sektor penyimpanan tenaga itu bagi memperkukuh keperluan tenaga pada masa hadapan.
“Kami baru sahaja menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dalam penyimpanan tenaga bagi membantu Sarawak melihat keperluan tenaganya pada masa depan serta pelbagai pilihan yang ada untuk menggunakan penyimpanan tenaga dalam memenuhi perancangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Malah, Danielle memberitahu, Australia juga berminat untuk menarik lebih ramai pelabur ke Sarawak, termasuk pelabur dari negaranya sendiri.
“Kami mahu membawa lebih banyak pelabur ke Sarawak, dan sememangnya terdapat beberapa pelabur Australia yang sedang mempertimbangkan Sarawak sebagai pilihan, khususnya dalam sektor tenaga dan perlombongan,” dedahnya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia Fenny Nuli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.
Catat Ulasan