98 projek libatkan RM9.04 bilion dilulus KKDW untuk laksana JALB di Sarawak

#KKDW


KUCHING-- Sebanyak 98 projek melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM9.04 bilion diluluskan bagi melaksanakan program Jalan Luar Bandar (JALB) di Sarawak.

Perkara ini dijelaskan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang yang memberitahu daripada jumlah itu, 11 projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf bekas jalan balak di seluruh Sarawak dengan keseluruhan kos RM759.0 juta.

"Untuk maklumat, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan 98 projek dengan keseluruhan kos berjumlah RM9.04 billion untuk Sarawak di bawah program JALB.

"Daripada 98 projek tersebut, sebelas projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf bekas jalan balak di seluruh Sarawak dengan keseluruhan kos RM759.0 juta.

"Manakala sembilan projek JALB diluluskan di Parlimen Hulu Rajang melibatkan kos RM674.9 juta, dengan dua daripadanya merupakan projek menaik taraf bekas jalan balak dan status kedua-duanya di peringkat pembinaan," katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ink.

Rubiah berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan berkaitan projek naik taraf jalan balak di Sarawak yang sering rosak dan tidak selamat serta peratusan kemajuan kerja-kerja naik taraf di kawasan Parlimen Hulu Rajang.

Mengulas lanjut, beliau berkata kemajuan fizikal bagi Projek Menaik Taraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Tegulang (Fasa 5) di Kapit, adalah 44.24 peratus.

Jelasnya projek itu dijangka siap pada Oktober 2025.

"Manakala kemajuan fizikal bagi Projek Menaik Taraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Metalun (Fasa 6) juga di Kapit, adalah 5.73 peratus dengan projek ini dijangka siap pada Mac 2027," ujarnya.

Tambahnya lagi, agensi pelaksana bagi kedua-dua projek itu adalah Jabatan Kerja Raya Sarawak.


Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama