Pemuda kahwini dua gadis dicintai di Kuching jadi topik hangat di media sosial
KUCHING -- Satu Ramadhan dikejutkan dengan kisah penjual mi kolo, Lim Soon Kien yang melangsungkan perkahwinannya dengan dua gadis idaman hatinya menjadi topik perbualan hangat netizan di media sosial.
Difahamkan Lim meraikan majlis perkahwinannya di salah sebuah restoran di sini semalam, mendapat perhatian orang ramai kerana dia mengahwini dua pengantin wanita Ivy Ong dan Dewi Kartika pada satu majlis yang sama.
Malah, dia turut meraikan malam bulan madunya bersama kedua-dua isterinya dalam bilik yang sama.
Dalam majlis itu, Lim bersama dua pengantin wanita dilihat mengenakan pakaian pengantin serba putih selain mengikut tradisi perkahwinan kaum Cina disaksikan rakan-rakan dan saudara mara.
Susulan hantaran yang dimuat naik Borneo Network pagi tadi, berita tentang perkahwinan itu kini hangat diperkatakan.
Malahan, ada yang mempersoalkan perkahwinan itu sama ada sah atau tidak memandangkan negara ini hanya membenarkan pasangan bukan Islam berkahwin dengan satu isteri sahaja di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Tetapi negara kita hanya membenarkan satu isteri saja (untuk lelaki bukan Islam). Isteri pertama yang melafazkan sumpah perkahwinan itulah isteri pertama dan sah," kata netizen.
Selain itu, netizen juga sempat berseloroh agar kisah penjual mi kolok ini menjadi contoh buat lelaki hidung belang.
"Yang ini baru tabik hormat tak kahwin dua sembunyi-sembunyi. Selamat pengantin baru," kata netizen sambil berseloroh menasihatkan pelakon dan penyanyi tanah air, Aliff Aziz agar mengikuti jejak penjual mi kolok itu.
Difahamkan, salah seorang isteri kepada tauke mi kolok itu adalah rakyat Indonesia.
Dipercayai dia hanya mendaftarkan perkahwinannya itu secara sah bersama isteri berbangsa Cina.
Untuk pengetahuan kedua-dua isterinya merupakan pekerjanya dan kini sedang berbadan dua.
Sementara itu, seorang pegawai polis menjelaskan, perkahwinan pasangan tersebut harus didaftarkan dengan seorang wanita di bawah undang-undang.