Pengawal keselamatan wanita maut, motosikal dilanggar pikap

KUCHING-- Seorang pengawal keselamatan wanita maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah pikap di simpang tiga Jalan Camar/Jalan Nuri pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian pada jam 7 pagi itu, mangsa yang maut dikenali Noorhaslinda Saree, 46, beralamat di Kampung Selang Ulu, Jalan Matang.
"Siasatan ditempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal datang dari arah Matang manakala pikap dipandu seorang polis bantuan lelaki, 33, datang dari arah Samariang menghala ke Matang.

"Apabila sampai di jalan simpang tiga Jalan Camar/Jalan Nuri, semasa pikap terbabit bergerak lurus menghampiri simpang berkenaan tiba-tiba melanggar motosikal ditunggang mangsa yang membelok masuk ke simpang kanan ke Jalan Nuri," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat pelanggaran itu mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

Manakala pemandu pikap katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan. 

"Cuaca semasa kejadian hujan renyai dan jalan basah serta  licin. 

"Mayat mangsa telah dibawa ke unit Forensik Hospital Umum Kuching bagi tindakan susulan," ujarnya.

Tegas Abang Zainal kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya lagi, punca kemalangan masih dalam siasatan. 

Oleh itu, katanya, polis sedang mengesan saksi bebas yang dapat membantu siasatan.


LihatTutupKomentar