222 guru “one-off” tolak tawaran untuk berkhidmat di Sarawak


KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sejumlah 222 guru “one-off” yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran itu sehingga 30 September tahun lepas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapan lisan yang dikeluarkan KPM di laman sesawang Parlimen hari ini, jumlah itu daripada 3,227 guru “one-off” yang merangkumi 2,621 guru lantikan tetap dan 606 guru lantikan secara “Contract of Services (CoS)” yang ditempatkan di Sarawak.

Tambahnya, urusan pengambilan guru akan dilaksanakan berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai bilangan guru pengambilan “one-off” dan CoS yang tidak melapor diri atau menolak tawaran ke Sarawak serta tindakan diambil KPM untuk mengisi kekosongan itu.

Tegasnya, guru kelahiran Sarawak diberikan keutamaan untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

Selain itu, Fadhlina berkata, KPM telah melaksanakan Program Pembangunan Guru Baharu untuk membimbing dan membantu secara profesional dan berstruktur bagi membolehkan guru baharu mengadaptasi persekitaran, budaya dan komuniti sekolah bagi pembangunan profesionalisme guru baharu. 

"Guru baharu juga menerima bimbingan secara berterusan daripada guru mentor yang dilantik dalam meningkatkan kompetensi profesionalisme terutamanya kemahiran dan kepakaran.

"Ini bagi memastikan pembelajaran dan pengajaran (PdP) dapat disampaikan dengan lebih berkesan," ujarnya.


LihatTutupKomentar