Maut langgar anjing
KUCHING--Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggang kemalangan kendiri melanggar anjing berhampiran pasaraya Everwin Batu 11, Jalan Serian / Kuching di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Boon Nam Maew, 74, dari arah Kuching hendak menuju ke Serian.
"Ketika motosikal ditunggang mangsa bergerak lurus di lorong kiri jalan secara tiba-tiba seekor anjing yang datang dari bahu sebelah kiri jalan masuk ke laluan tersebut.
"Mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak yang dekat menyebabkannya melanggar anjing tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat daripada kemalangan tersebut mangsa telah tercampak dan jatuh daripada motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pamaredik dari Hospital Sentosa.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan lanjut.
"Motosikal yang digunakan dibawa ke IPD Padawan untuk pemeriksaan Puspakom, pihak polis juga masih mengesan saksi bebas yang dapat membantu siasatan," ujarnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.