Dua beranak berdepan detik cemas, pokok tumbang hempap kereta

KOTA SAMARAHAN-- Dua beranak berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki tiba-tiba dihempap pokok tumbang di hadapan Flat Desa Ilmu di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa wanita (pemandu kenderaan) selamat manakala seorang kanak lelaki cedera ringan di bahagian bahu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.49 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.

"Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada dibahu jalan telah dihempap oleh sebatang pokok tumbang. 
"Ketika kejadian berlaku terdapat dua orang mangsa berada dalam kenderaan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota Bomba telah bertindak menjalankan operasi memotong serta mengalihkan pokok tumbang tersebut dengan menggunakan mesin gergaji rantai dan juga telah memberi rawatan awal kepada dua orang mangsa yang terlibat sebelum menghantar mangsa ke Hospital KPJ menggunakan jentera EMRS. 
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.40 petang.
LihatTutupKomentar