PGA Sarawak serbu premis di Betong, Limbang dan Sibu, rekod rampasan cecah RM13.5 juta




KUCHING– Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) melakarkan empat kejayaan dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM13.5 juta dalam Op Taring Alpha dan Op Taring Chiller bagi tempoh 9 hingga 10 Mac lalu. 

 Komander, Briged Sarawak, PGA SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata, kejayaan pertama direkodkan pada 9 Mac lalu sekitar jam 2 petang, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 23 PGA, Sri Aman telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas dua buah premis di sekitar daerah Betong yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok dan minuman keras yang belum lulus cukai kastam. 



 “Dalam serbuan ini, pasukan menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 50 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 2,169 karton rokok putih dan 3,326.4 liter minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah RM1,689,258 (mengikut harga pasaran). 

 “Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Betong untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah kesalahan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini. 


 Kejayaan kedua pula katanya, pada 10 Mac 2025 sekitar jam 6.30 petang, sepasukan polis dari Cawangan Risik Kompeni C Batalion 12 PGA, Limbang telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di sekitar daerah Limbang yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok yang belum lulus cukai kastam. 

 Jelasnya, dalam serbuan itu dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 50 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 2,550 karton rokok putih dan 350 karton rokok kretek pelbagai jenama dalam premis tersebut yang dianggarkan bernilai RM1,563,000 (mengikut harga pasaran). 

 

Tambahnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah kesalahan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. 

 “Kejayaan ketiga pula pada 10 Mac 2025 sekitar jam 10.10 pagi, sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA dan Batalion 10 PGA, Sibu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cawangan Sibu telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di sekitar daerah Sibu yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan pelbagai jenis produk makanan sejuk beku tanpa permit yang sah. 

 

“Dalam serbuan ini, pasukan menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 36 hingga 65 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 25,039 kilogram ayam sejuk beku dan 350 kilogram daging sejuk beku dalam premis tersebut. 

 “Turut dirampas dua buah kontena, dua buah forklift, tiga buah kenderaan jenis lori dan sebuah kenderaan jenis van dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,339,974 (mengikut harga pasaran). 

 

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar Cawangan Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah kesalahan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” ujarnya. 

 Mengenai kejayaan keempat pula, Dr Che Ghazali berkata, sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA dan Batalion 10 PGA, Sibu pada 10 Mac 2025 sekitar jam 5.30 petang, telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis di sekitar daerah Sibu yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan rokok yang belum lulus cukai kastam. 


 “Pasukan serbuan telah berjaya menemukan sebanyak 18,000 karton rokok putih pelbagai jenama dalam premis tersebut dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM7,920,000 (mengikut harga pasaran). 

 
“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah kesalahan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” tegasnya. 

 Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang pengoperasian Op Taring Briged Sarawak PGA yang dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 10 Mac 2025, telah mencatatkan kejayaan bernilai RM175 juta dengan merekodkan sebanyak 73 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 173 orang (127 warga tempatan dan 46 warga asing) serta rampasan sebanyak 88 buah kenderaan pelbagai jenis. 

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama