Lembaga Lada Malaysia perkenal IoT kepada pekebun lada pedalaman Sarawak
BELAGA — Pertanian menggunakan teknologi digital terutama Internet Pelbagai Benda (IoT) mampu meningkatkan pengeluaran lada di Sarawak.
Aplikasi digital seperti Dr. LADA 2.0. NutriLada dan LadaGo yang dibangunkan Lembaga Lada Malaysia (MPB) akan memacu sektor ini seterusnya memanfaatkan pekebun-pekebun kecil lada.
Menyedari pentingnya elemen digital ini, MPB menerusi Pejabat Cawangan Belaga telah mengadakan sesi lawatan nasihat kebun (TOT) bersama 14 orang pekebun di Uma Sekapan Piet dan tujuh orang pekebun di Uma Kahei Long Mekero, Belaga baru-baru ini.
“Para pekebun telah diberikan tunjuk ajar mengenai penggunaan aplikasi mudah alih yang telah dibangunkan oleh MPB iaitu Dr. LADA 2.0, NutriLada dan LadaGO.
“Pembangunan aplikasi tersebut semestinya memberi manfaat yang signifikan kepada para pengusaha tanaman lada kerana ia memudahkan pengesanan awal masalah penyakit, serangan serangga perosak, masalah nutrien pokok lada dan syor rawatan terbaik dalam menangani masalah tersebut berdasarkan kepada Amalan Pertanian Baik (GAP),” kata MPB dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Untuk rekod, jarak dari bandar Bintulu ke pekan Belaga adalah sejauh 180 kilometer dan mengambil masa perjalanan kira-kira 3 jam 30 minit.
Lokasi rumah panjang tersebut dipilih kerana terletak di kawasan yang strategik iaitu berdekatan dengan Pekan Belaga.
Kawasan tersebut juga mempunyai liputan internet yang baik dan sesuai dengan tujuan TOT diadakan serta selari dengan usaha MPB untuk mempromosikan perkhidmatan digital kepada golongan sasar.
“Menariknya, aplikasi seperti Dr.LADA 2.0 dan NutriLada dapat digunakan secara luar talian (offline).”
“Sudah tentu ia dapat membantu pekebun-pekebun kecil di luar bandar untuk menyelenggara kebun dengan baik dan meningkatkan produktiviti kebun lada.
“Ini akan menggalakkan hasil pengeluaran yang berkualiti dan akhirnya dapat membawa kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi pekebun kecil lada,” kata kenyataan itu.
Penggunaan aplikasi ini menggantikan kaedah lapuk kerana ia dilengkapi dengan maklumat berkaitan amalan pembajaan dan kadar pembajaan yang sistematik.
Dalam pada itu rata-rata peserta telah memberi respon yang positif dan bersetuju bahawa perkhidmatan pendigitalan secara tidak langsung dapat mengurangkan kos selain meningkatkan taraf hidup seiring dengan perkembangan teknologi.
Selain aplikasi mudah alih, pegawai pengembangan MPB turut mengambil peluang mempromosikan sistem permohonan bantuan secara dalam talian yang boleh diakses melalui pautan http://bantuanlada.mpb.gov.my/.
Sistem sebegini mampu mengurangkan kos dari segi masa dan pengangkutan para pekebun terutamanya yang tinggal jauh di pedalaman untuk ke bandar semata-mata bagi mendapatkan borang skim bantuan lada.
Penerimagunaan teknologi merupakan salah satu strategi di bawah lima teras dasar Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) bagi sektor lada.